Ingin pinggul menarik terpaksa potong kedua dua kaki dan tangan

Minggu, 02 Februari 2014 0 komentar

myMetro

Los Angeles: Seorang ibu kepada dua anak semalam menceritakan bagaimana impiannya untuk memiliki pinggul lebih menarik berakhir dengan tragedi apabila dia terpaksa membuang kedua-dua tangan dan kakinya, selain hampir-hampir menemui ajal.
Apryl Michelle Brown tidak menyangka keputusannya memilih suntikan silikon di pasaran gelap menyebabkan dia berdepan maut.
Semua gara-gara bahan yang digunakan untuk menyuntik pinggul Apryl bukan silikon sebenar, sebaliknya hanya sejenis pelekat industri yang cuma sesuai digunakan di bilik mandi.

Sebelum itu, Apryl berasa pinggulnya tidak cukup menarik dan mahu menukarnya melalui suntikan silikon.
FotoAPRYL kini terpaksa meneruskan hidup tanpa tangan dan kaki.

Kata Apryl, 46, dia menyangka prosedur itu tidak membahayakan walaupun ketika itu dia mendapatkan khidmat daripada pihak yang tidak bertauliah.

“Hakikatnya, bahan yang digunakan itu tidak sesuai untuk manusia,” katanya.
Insiden yang mengubah keseluruhan hidup Apryl mengalami itu berlaku pada 2004 apabila dua wanita menemuinya di salun kecantikan yang diusahakannya.

Kata Apryl, wanita terbabit datang ke situ untuk mencantikkan rambut mereka.

“Seorang daripada mereka menawarkan suntikan silikon tanpa lesen yang sedia memberikan khidmat ke rumah pelanggan.

“Untuk membuktikan keberkesanan suntikan itu, wanita terbabit menunjukkan rakannya yang memiliki pinggul menarik,” katanya.

Melihat keadaan itu, Apryl berkata, dia menyangka keajaiban berlaku dalam hidupnya.

Namun, keputusan Apryl mempercayai wanita terbabit ternyata membawa dia ke ambang maut.

Apryl membayar upah kira-kira RM3,000 untuk dua suntikan pada pinggulnya.

Selama dua tahun selepas itu, kawasan suntikan berkenaan menjadi keras dan warna kulit menjadi kehitaman.

Tahun-tahun berikutnya, Apryl terpaksa menanggung kesakitan yang berterusan dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana doktor berpendapat, terlalu bahaya jika silikon itu dibuang.

“Saya terseksa sentiasa dan menjadi pengunjung biasa hospital kerana terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit.

Pada 2011, satu pembedahan bagi membuang bahan itu dijalankan tetapi gagal, menyebabkan pinggul Apryl berlubang dan menjadi punca kepada jangkitan kuman yang nyaris meragut nyawanya.

Doktor terpaksa meletakkan Apryl dalam keadaan koma selama dua bulan dan sepanjang tempoh itu menjalankan 27 pembedahan - bermula dengan memotong pinggulnya.

“Mereka menyelamatkan nyawa saya tetapi berlaku gangren pada tangan dan kaki, memaksa doktor memotong kedua-dua tangan dan kaki saya,” katanya.

Di sebalik insiden itu, Apryl mengakui tidak ada sesiapa yang boleh dipersalahkan kecuali dirinya sendiri.

“Semuanya bermula kerana saya mahukan pinggul lebih besar,” katanya. - Daily Mail

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 trilogi topik