Stesen Minyak Dipecah Masuk Di Bentong

Senin, 10 Februari 2014 0 komentar


BENTONG – Sebuah stesen minyak di bandar ini dipecah masuk mengakibatkan kerugian anggaran RM300 dalam kejadian awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Wan Azha-rudin Wan Ismail berkata, kejadian disedari pengurus stesen minyak itu yang datang untuk memulakan operasi kira-kira jam 6 pagi.

Katanya, pemilik stesen minyak terbabit terkejut mendapati bahagian dalam stesen minyak itu digeledah terutama laci di bahagian kaunter.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu. Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku antara jam 2 hingga 3 pagi.

“Suspek yang terlibat dipercayai mengumpil bahagian depan pintu stesen minyak itu dan masuk ke ruang dalam,” katanya.

Wan Azharudin berkata, suspek menggeledah bahagian dalam stesen minyak dan berjaya melarikan anggaran RM300 dari laci kaunter.

Menurutnya, tinjauan pemeriksaan dari sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, bilangan suspek yang melakukan kes itu dipercayai lebih dari seorang.

“Selepas itu, suspek dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kereta yang diletakkan di tepi jalan besar berhadapan stesen minyak itu.

“Polis masih meneruskan siasatan termasuk meneliti rakaman CCTV di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan,” katanya.

Wan Azharudin berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis. – Sinar Harian

0 komentar:

Posting Komentar

 

©Copyright 2011 trilogi topik